IPOH:Penduduk setempat yang sering menggunakan kemudahan Hutan Lipur Ulu Kenas, Kuala Kangsar, untuk beriadah akan diberikan pas tahunan secara percuma yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

Perkara itu diputuskan kerajaan negeri dengan mengambil kira kepentingan dan penglibatan masyarakat setempat selama ini.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, sehingga kini, tiket bayaran masuk ke Hutan Lipur Ulu Kenas adalah mengikut kadar bayaran tertentu.

"Terdapat beberapa kadar bayaran seperti berikut: 6 tahun dan ke bawah, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah percuma; 7 hingga 17 tahun adalah RM1 dan 18 hingga 59 tahun adalah RM2," katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan Negeri Perak di sini, hari ini.

Saarani turut menyambut baik cadangan mempromosikan keunikan tempat, budaya dan makanan popular di negeri ini menerusi program 'Moh Kenei Perak'.

"Yang Berhormat Lubok Merbau memohon supaya Belanjawan yang diumumkan dapat mengembalikan semula Negeri Perak sebagai tempat tumpuan pelancongan domestik.

"Program Moh Kenei Perak dicadangkan untuk dibuat dalam pelbagai bahasa,

"Justeru, kerajaan negeri menyambut baik cadangan menggunakan pelbagai bahasa dalam program-program seumpama itu di masa akan datang," katanya lagi.